Di dalam kehidupan rumahtangga, suami adalah tingkatan
ketiga mulia setelah Allah dan rasul. Mengapa suami diletakkan ditempat yang
begitu mulia ?. Jika dikaji dari sudut lahiriah sekalipun, seseorang yang
bergelar "lelaki" itu memang mempunyai tanggungjawab yang berat dan
besar. Selain menanggung nafkah, lelaki yang bergelar suami ini adalah jambatan
untuk isteri mendapatkan redho Allah. Tanggungjawab sebagai ayah yang telah
mendidik anak-anak sejak dari alam bayi hingga dewasa, semuanya tertanggung
diatas bahu lelaki yang bergelar ayah dan suami itu. Suamilah yang terus
menerus menanggung beban sehingga lahirnya zuriat bakal penyambung warisannya.
Segala amal ma'ruf dan nahi mungkar, setiap apa yang
dilakukan olehnya apalagi isterinya, akan dipikul olehnya di hari Qiamat kelak.
Kerana itulah seorang isteri diwajibkan untuk mentaati suaminya selagi segala
perintahnya itu tidak melanggar syariat. Kerana itu juga seorang wanita yang
bergelar isteri, wajib mengetahui dan mempelajari segala hukum yang
bersangkutan dengan kehidupan berumahtangga dan hal yang berkaitan dengan
ketaatan terhadap suami agar terpelihara amal ibadahnya dan memperolehi
kebajikan dan menfaat di dunia dan akhirat.
Telah tersebut di dalam kitab Muhimmah, bahawa para ulama
telah mengingatkan kepada para isteri: Sesungguhnya antara dosa yang teramat
besar derhaka isteri kepada suami ialah menegah akan suami untuk mengambil
kesukaan yang ada pada dirinya sama ada untuk diwati (dijimak) yakni untuk
memuaskan nafsunya dengan jalan yang halal (sah) di dalam Islam atau lainnya
seperti melarang isteri itu ke atas suaminya menjamah dan menyentuh pada
sebarang tempat anggota badannya.
Firman Allah di dalam Al Quran: "Dihalalkan bagimu pada
malam puasa bercampur dengan isteri kamu, mereka itu adalah pakaian bagimu dan
kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat
menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampunkan kamu dan memberikan keringanan
kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan
Allah untukmu, dan makan dan minumlah sehingga terang benang putih dari benang
hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga malam (tetapi)
janganlah kamu mencampuri mereka itu sedang kamu beriktikaf dalam
masjid-masjid. Itulah larangan-larangan Allah, maka janganlah kamu
mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatnya kepada manusia supaya
mereka bertaqwa." (Al Baqarah : 187)
Dan firman Allah lagi di dalam surah Al Baqarah, ayat 223:
"Isteri-isteri adalah seperti tanah tempat bercucuk tanam,maka datanglah
(tanah) tempat bercucuk tanam sebagaimana sahaja yang kamu kehendaki,
kerjakanlah (amal-amal) yang baik untuk dirimu. Bertaqwalah kepada Allah dan
ketahuilah kamu kelak akan menemuiNya. Dan berikanlah khabar gembira bagi
orang-orang yang beriman."
Demikianlah perumpamaan yang telah diberikan oleh Allah
s.w.t terhadap para isteri. Suami diberi amanah untuk membimbing isteri ke arah
kebaikan dan kebenaran. Bagi isteri pula, mereka hendaklah taat terhadap suami
dan merasakan suamilah segala-galanya bagi diri mereka sebagaimana kiasan
"mereka (isteri) adalah pakaian bagimu dan kamu adalah pakaian bagi
mereka." Isteri hendaklah ingat dan sentiasa takut untuk keluar rumah
tanpa izin suami. Kerana sesungguhnya laknat Allah amat besar bagi seorang
isteri yang keluar rumah tanpa izin suami. Tetapi perlu diingat bagi para suami
adalah haram mencegah isteri untuk keluar belajar ilmu Fardhu Ain dan segala ilmu
yang wajib dituntut sekiranya suaminya itu tidak berkemampuan untuk mengajar.
Sekiranya dia mampu mengajar, maka wajib dia mengajar isterinya akan segala
ilmu Fardhu Ain dan isteri tidak boleh ingkar dan enggan untuk belajar.
Jikalau suami mengajak isteri untuk berpindah dari rumah ibu
dan ayah, janganlah si isteri enggan kerana isteri bukan lagi hak ibu dan ayah,
tetapi hak suami. Isteri wajib mengikuti suaminya kemana sahaja suaminya pergi.
Jikalau terdapat halangan untuk mengikuti suami, sedangkan suami redha, maka
tidak mengapa tidak mengikut suami pergi atau berpindah ke mana-mana.
Begitu juga layanan isteri kepada suami ketika suami balik
dari kerja, mestilah yang menggembirakan hati suami dengan menyediakan minuman
dan melemparkan kepadanya senyuman yang manis. Sesungguhnya separuh daripada
keletihan itu akan hilang dengan melihat isteri tersenyum manis kepadanya.
Ingatlah kehidupan rumahtangga adalah satu kehidupan yang saling memerlukan di
antara satu sama lain. Kerana itu janganlah malu untuk memberikan kasih sayang
kerana kita juga ingin disayangi dan memerlukan kasih sayang.
Para isteri diingatkan jangan meminta talak. Sesungguhnya
inilah dosa yang amat besar di sisi Allah bagi para isteri. Hati suami akan
terluka disebabkan perkataan isteri. Dari itu berhati-hatilah semasa
mengeluarkan perkataan ketika sedang marah. Hendaklah difikirkan dahulu apa
yang hendak diperkata. Kerana perkataan yang kasar terhadap suami itu boleh
menyebabkan kita dimurkai oleh Allah s.w.t.
Juga sekali-kali jangan bermasam muka dengan suami.
Kejernihan muka dan keceriaan isteri itu adalah penenang fikiran dan jiwa bagi
suami dari suasana luar rumah yang penuh maksiat dan durjana. Diri para
isterilah tempat tatapannya dan tempat menumpah kasih. Pulangnya suami bila isteri
menguntum senyum di pintu, akan menghilangkan segala kepenatan dan keletihan
sepanjang hari. Oleh itu senyumlah selalu, nanti suami akan kasih. Allah akan
redha.
Hendaklah bersangka baik dengan suami dan jangan
mempertikaikan kesetiaan suami. Hati jarang merasa tenang kerana sering
mempertikaikan kesetiaan masing-masing. Bila di dapati suami melakukan
kesilapan atau punya kelemahan, hati semakin hancur dan timbul tindakan yang
tidak tentu arah. Tidak hairanlah jikalau wujud risiko yang sebegitu rupa kerana
cinta diletakkan pada hamba yang lemah, bukan pada Allah yang Maha Esa. Di
dalam Islam, cinta yang sejati itu adalah cinta yang diserahkan kepada Allah
s.w.t dan suami hanyalah jalan untuk isteri memperolehi redho Allah. Cinta suci
hanya lahir daripada iman dan taqwa. Hati orang yang bertaqwa adalah untuk
Allah dan RasulNya. Hati yang demikian akan melihat akhirat lebih utama
daripada dunia. Maka orang yang sedemikian akan mengorbankan dunianya untuk
akhirat.
Dalam pada itu para suami haruslah berlaku adil terhadap
isterinya. Sememangnya di dalam Islam hak isteri pada suami memang banyak,
tetapi hak suami kapada isteri tidak kurang pentingnya pula. Bagi para suami
mendidik dirinya, isteri dan anak-anak menghayati Islam adalah wajib, jikalau
tidak suami dihukumkan dayus. Setengah ulama menyifatkan makna dayus itu, suami
yang membiarkan isteri dan anak-anaknya terjebak dengan maksiat dan mungkar.
Maka tersuratlah di sepan pintu syuga yang bermaksud: "Engkau hai syurga !
Haramlah atas segala lelaki yang dayus." Maka apabila datangnya Hari
Qiamat, Allah s.w.t akan menghukumkan suami terlebih dahulu di dalam segala hal
kebajikan berbanding dengan isteri dan anak-anaknya kerana suamilah yang
menentukan segala hal dan berkuasa di dalam rumahtangganya. Firman Allah:
"Peliharalah diri dan ahli keluargamu dari api neraka." (At Tahrim:
5)
Para isteri hendaklah mendorong suami untuk melakukan
sebanyak mungkin kebaikan dan ibadah demi menyelamatkan keluarga daripada azab
Allah. Hal ini akan melahirkan sikap sensitif terhadap perjuangan untuk
menegakkan agama Allah. Segala tindak tanduk didorong untuk membangunkan agama
Allah ini. Suami digalakkan belajar ilmu agama dan bergaul dengan mereka yang
arif tentang Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan